Saturday, September 26, 2009

MUNAFIK 1

Definisi Nifak
Imam al-Qurthubi dalam menerangkan maksud “Yunfiqun” beliau mengatakan bahawa perkataan “nafaqa” ini digunakan dalam berbagai bentuk dan penggunaan antaranya:
i) – الإنفاق yang bermaksud mengeluarkan harta
ii) – النافقاء nama kepada lubang arnab atau biawak pasir(dhab) yang digunakan untuk menyelamatkan dirinya ketika lubang utamanya tidak selamat untuk keluar melaluinya.
iii) – المنافق dinamakan seseorang dengan nama munafik kerana dia keluar dari keimanan atau iman keluar dari hatinya.
iv) – السراويل نيفق lubang kaki seluar
v) – نفق الزاد habis atau binasa bekalannya sebagaimana dalam firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 100:

100. “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut".

Bahaya Orang-orang Munafik
Setiap orang mukmin yang berjuang untuk menegakkan agama Allah wajib mengenali ciri-ciri orang munafik, ini kerana untuk menghalang munafik dan sifat-sifat munafik dari menyelusup masuk secara halus dan sembunyi ke dalam barisan pejuang-pejuang Islam.
Penyakit nifak dan orang-orang munafik ini jikalau tidak segera dibasmi maka:
1 - Mereka akan meniup-niupkan keraguan ke dalam hati pejuang-pejuang Islam sehingga mengakibatkan pergerakan Islam akan lumpuh dan boleh mengakibatkan pecahnya persatuan dan kesatuan mereka. Munafik-munafik ini adalah jentera-jentera atau tentera-tentera parti syaitan yang menyerang saraf pejuang Islam dan pergerakan Islam.
2 – Mereka akan mencuri rahsia-rahsia sulit perjuangan dan menyerahkan ke tangan musuh.
3 – Mereka akan meniup-niupkan nafsu berahi terhadap keindahan dan kenikmatan dunia sehingga pejuang Islam tergoda dengan tipudaya mereka lalu terjerumus ke dalam perangkap dunia.
4 – Mereka akan menghiaskan perkara-perkara mungkar agar pejuang-pejuang Islam melihat perkara mungkar itu tidak lagi mungkar bahkan ianya hanyalah perkara kecil dan remeh untuk diambil kira dalam Islam.
5 – Mereka akan memesongkan kebajikan, mereka akan memujuk dan menghiasi pejuang Islam sehingga mereka melihat perbuatan mungkar itu adalah sebenar-benarnya perbuatan makruf.
6 – Mereka sedaya upaya memujuk dan mempengaruhi pejuang-pejuang Islam agar perbuatan mungkar itu dilihat sebagai kebajikan.
7 – Mereka juga akan mempengaruhi pejuang-pejuang Islam agar menyokong mereka dalam menuduh orang-orang yang bersih dan ikhlas berbuat kesalahan.
8 – Mereka juga akan mempengaruhi pejuang Islam agar memberi kepercayaan kepada musuh Allah dan meremeh-remehkan hakikat keimanan.
Perlu diketahui juga bahawa sebahagian orang-orang munafik ada yang menyembunyikan kemunafikannya serapat-rapatnya sehingga kemunafikannya itu tidak diketahui sedikitpun. Mereka inilah pembawa virus nifak yang paling berbahaya. Perkara ini dijelaskan dalam al-Quraan ayat 101 surah at-Taubah:

101. dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang "A'raab" ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik. Engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.
Mereka adalah jentera dan tentera syaitan yang melancarkan perang saraf terhadap ummat Islam secara halus dengan bersembunyi disebalik Islam. Dengan bertopengkan Islam mereka menghembus-hembuskan angin perpecahan di barisan pejuang-pejuang Islam. Perkara ini telah berlaku ketika ummat Islam di zaman Rasulullah sedang bersiap sedia untuk mengadakan peperangan dengan kaum kafir, sebagai contohnya pada peperangan Bani Musthaliq. Mereka berusaha mematahkan semangat pejuang Islam dengan seruan untuk memujuk pejuang Islam agar tidak menyertai peperangan tersebut. Mereka menyebarkan berita-berita bohong secara rahsia. Perbuatan mereka ini didedahkan oleh Allah dalam surah al-Mujadilah ayat 8:

8. tidakkah engkau memerhatikan (Wahai Muhammad) akan orang-orang yang telah dilarang daripada perbuatan berbisik-bisik, kemudian mereka berbalik melakukan perbuatan yang telah dilarang itu serta mereka berbisik-bisik berkenaan dengan melakukan dosa dan pencerobohan serta kederhakaan kepada Rasulullah? dan lagi apabila mereka datang kepadaMu, mereka memberi salam hormat bukan dengan lafaz salam hormat yang diberikan Allah kepadamu; dan mereka berkata sesama sendiri: "(Kalau benar Muhammad utusan tuhan, maka) sepatutnya kami diseksa oleh Allah disebabkan (kata-kata buruk) yang kami ucapkan itu?" cukuplah untuk mereka neraka Jahannam, yang mereka akan dibakar di dalamnya; maka itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Perhatilah kepada sabda Rasulullah saw berikut:
Ucapkanlah salam kepada orang yahudi dan orang nasrani tetapi janganlah engkau beri salam kepada orang yahudi dari ummatku. Rasulullah saw ditanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: Orang yang mendengar azan dan iqamat, tetapi tidak menghadiri solat jemaah .
Mereka yang tidak bersama jemaah pejuang Islam dan mereka sering mengadakan pertemuan untuk menghalang gerakan Islam ialah yahudi dari kalangan ummat Muhammad. Mereka bertemu dan bermesyuarat secara sulit untuk melakukan dosa, pencerobohan serta kedurhakaan kepada Allah dan Rasulnya, tetapi apabila mereka mengadakan kempen kepada ummat Islam mereka akan menampilkan penampilan yang amat baik dan memikat hati. Ini kerana tujuan utama mereka ialah memerangi dan merosakkan saraf ummat Islam dan seterusnya meruntuhkan dan menghancurkan perjuangan Islam yang betul.


Firman Allah dalam surah al-Mujadilah ayat 10:

10. Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.
Mereka yang mengadakan pertemuan dan mesyuarat untuk menghalang perjuangan Islam, mereka ini dipimpin oleh syaitan. syaitan akan menjadi pembimbing mereka. Oleh itu, tidak mustahil jikalau kita dapati mereka berjaya merangka beberapa gerak kerja yang hebat mengikut pandangan dunia, sehingga gerak kerja mereka dikagumi oleh orang-orang fasik dari kalangan pejuang-pejuang Islam dan cuba menyerap gerak kerja mereka kedalam perjuangan Islam tanpa mengkajinya dengan mendalam terlebih dahulu. Perkara ini telah diterangkan dengan jelasnya oleh Allah dalam surah al-Mujadalah ayat10 diatas.
Dengan serangan saraf yang dilakukan oleh jentera-jentera syaitan ini maka pejuang-pejuang Islam yang tergolong dari golongan yang fasik (rosak iaitu hatinya terdedah kepada kekufuran) akan mulai goyah dan bergoncang lalu mengakibatkan mereka mulai terpengaruh kepada parti syaitan maka terjadilah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 137:

137. Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.
Fenomena keluar masuk parti adalah fenomena biasa yang dapat kita saksikan pada hari ini. Mereka ini adalah orang-orang fasik yang hatinya tidak dipagari dan didindingi dengan keimanan yang kukuh. Mereka ini tidak berperinsip, mereka ini tidak berkeyakinan,mereka ini sedang bergerak menujuk kemunafikan. Jikalau perbuatan mereka ini melampau boleh jadi Allah akan kekalkan mereka dalam kekufuran (kemunafikan bersama teman-teman yang memujuk mereka supaya melompat parti meninggalkan perjuangan Islam) dan tidak akan mengampuni mereka sebagaimana dijelaskan dalam ayat diatas.
Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya “Madaarij as-Salikin” mengatakan: “Sesungguhnya Islam telah banyak menderita oleh sebab kejahatan mereka(orang-orang munafik). Mereka menamakan diri mereka Islam, mereka pula berlagak seakan-akan mengangkat martabat Islam dan membela Islam dan memberikan sokongan dan kesetiaan yang padu kepada Islam. Padahal, hakikatnya mereka memusuhi dan berusaha menghancurkan Islam dari dalam. Orang-orang jahil dari ummat Islam menyangka orang-orang munafik ini adalah orang yang cedik lagi pandai dan amat baik perangainya, tetapi hakikat sebenarnya disisi Allah ialah orang-orang munafik ini adalah jahil(bahkan amat-amat jahil) dan ingin merosakkan Islam. Berapa banyak tempat-tempat perlindungan ummat Islam mereka porakporandakan. Berapa banyak benteng pertahanan Islam mereka cabut tiangnya dan mereka hancurluluhkan. Berapa banya panji Islam yang berkibar menjulang tinggi di angkasa mereka turunkan. Berapa banyak mereka susupkan keraguan-keraguan dalam Islam dengan maksud agar keimanan runtuh hancur berkecai. Betapa Islam telah menderita dari kejahatan mereka, bahkan mereka tidak akan berhenti menyusupkan keraguan demi keraguan ke dalam Islam dengan cara halus lagi tersembunyi”.
Perhatilah kepada Firman Alah dalam surah al-Baqarah ayat 8-16:

8. dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

9. mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

10. Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (tidak mahu mengenali kebaikan dan keburukan disisi Allah), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

11. dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".

12. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

13. dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". mereka menjawab: "Patutkah Kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

14. dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".

15. Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

16. mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

Hukuman Orang Munafik di Dunia dan di Akhirat
Disiksa dengan azab siksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.

74. mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.
Mereka DILAKNAT Oleh Allah.
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 68:

68. Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.

Anak-anak dan Hartanya Akan Mengazab Dirinya.
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 85:

85. dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).
Mereka Akan di Hina Oleh Allah di Akhirat.
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 79:

79. orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Azab Ketika di Dunia
Wajib diperangi oleh orang-orang yang mengaku bahawa dia adalah seorang muslim mukmin.
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 73:

73. Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 4:

4. dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari kebenaran)?

No comments:

Post a Comment