Monday, May 3, 2010

PENGETUA MENJANA IMPAK KE ARAH KEMAJUAN SEKOLAH(2).

PEMILIHAN PENOLONG KANAN DAN PENGETUA PERLU LEBIH SISTEMATIK.

Dalam keghairahan YIK menggandakan usaha untuk melihat sekolah-sekolah yang berada dibawah kelolaannya membuahkan hasil yang lumayan maka seharusnya YIK mengubah atau membaik pulih cara pemilihan Penolong kanan dan Pengetua. Ubahlah tradisi lama kepada suatu sistem pemilihan yang lebih sistematik.

Perlantikan penolong kanan atau pengetua yang betul dan bersistematik akan memberi impak yang besar untuk menjana ke arah kemajuan sekolah. Perlantikan secara tradisi perlu dikaji semula kerana perlantikan secara tradisi ini dilihat memiliki kepincangan yang ketara . Unsur-unsur yang tidak sihat didapati wujud dalam pemilihan penolong kanan dan pengetua melalui cara tradisi ini.

Mereka yang tidak layak pada hakikatnya untuk menjadi penolong kanan atau pengetua didapati mempunyai ruang yang luas untuk dilantik menjadi penolong kanan atau pengetua melalui cara perlantikan tradisi asalkan mereka mempunyai kabel yang besar atau pandai menonjolkan diri kepada pegawai-pegawai YIK. Kabel, bodek dan bermuka-muka adalah senjata yang sering diguna pakai oleh mereka yang bercita-cita untuk mendapatkan jawatan penolong kanan atau pengetua di sekolah-sekolah YIK.

Apabila kepincangan wujud di sekolah-sekolah tertentu dan dapat dikesan oleh YIK atau eksko pendidikan atau kerajaan negeri maka penolong kanan atau pengetua akan menunding jari kepada guru-guru mereka.

YIK meletakkan kepercayaan yang besar kepada penolong kanan dan pengetua sehingga YIK sering mengatakan bahawa pengetua adalah wakil YIK di sekolah. Persoalannya adakah YIK meletakkan wakilnya yang benar-benar berkelayakan mengikut penilaian yang sebenar di sekolah-sekolah dibawah kelolaannya?. Hasil dari kepercayaan yang jitu kepada pengetua maka YIK merangka usaha-usaha untuk memajukan pendidikan sekolah-sekolah dibawah kelolaannya. Persoalannya adakah usaha-usaha yang dirangka oleh YIK ini hasil dari asas yang betul dan akan mengenai sasaran yang tepat?.

Penolong Pengarah bahagian kurikulum YIK adalah seorang yang hebat. Beliau begitu tekun dan gigih merangka tindakan-tindakan untuk meningkatkan pencapaian sekolah-sekolah YIK. Persoalannya adakah jentera-jentera (Pengetua-pengetua) yang akan menggerakkan kakitanganya di sekolah-sekolah mengerti dan memamahi serta ghairah untuk merealisasikan apa yang telah dirangka oleh Penolong pengarah bahagian Kurikulum YIK?. Adakah pengetua-pengetua memainkan peranan penting untuk membimbing guru-guru di bawahnya dan membentuk anak-anak muridnya untuk menjayakan apa yang dirangka oleh Penolong Pengarah Kurikulum YIK?.

Adakah Pengetua-pengetua sudah menubuhkan teamworknya yang terdiri dari penolong kanan dan guru-guru. Adakah Pengetua bersama teamworknya telah merangka tindakan-tindakan yang perlu dilakukan kepada sasaran (pelajar-pelajar) untuk menjayakan apa yang dirancangkan oleh Penolong Pengarah bahagian kurikulum?.

Kejayaan apa yang dirancang oleh Penolong Pengarah bahagian kurikulum tidak akan terhasil sekiranya pengetua tidak membentuk teamwork. Teamwork yang diketuai oleh pengetua ini tidak akan berjaya jika mereka tidak berjaya membentuk kesediaan untuk berubah dikalangan pelajar mereka. Kesediaan untuk berubah dikalangan pelajar tidak akan wujud tanpa kesedaran. Apakah pengetua sudah merangka program-program untuk memberi kesedaran kepada pelajar?apakah program mereka betul dan tepat?. Adakah program-program yang telah diadakan telah dibuat postmoterm untuk mengkaji tahap keberkesanan dan kejayaan yang dicapai dari program membina kesedaran pelajar tersebut?. Adakah selepas program tersebut wujudnya perubahan tingkah laku yang diharapkan dari pelajar?.

Ini kerana ramai yang mengatakan sesuatu program itu baik dan berjaya kerana program tersebut bertepatan dengan jiwanya...ukuran baik buruk sesuatu program bukan dinilai dari tepat atau tidak dengan jiwa dan perasaan seseorang tetapi diukur dari perubahan yang diharapkan hasil dari program tersebut...

Apa yang nyata hari ini ialah rata-rata pengetua masih kebingungan dan kebanyakan sekolah pelajarnya masih leka jauh dari kesedaran untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi nanti.

Hantarlah wakil YIK untuk membuat kajian tentang kesedaran dan kesedian pelajar untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan. Ukurlah, selidiklah tahap kesedaran dan kesediaan serta tindakan yang telah pelajar lakukan dan apa yang pihak sekolah lakukan untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan tahun ini.

Ini kerana apa yang YIK harapkan ialah perubahan pelajar bukannya kesempurnaan kerja guru dari sudut failing sahaja. Apa guna sekiranya dari sudut failing amat berjaya tetapi kejayaan ini tidak sampai memberi kesan baik kepada murid. Apakah dengan kesibukan guru mengejar kesempurnaan menyiapkan fail itu dan ini akan menghasilkan kesedaran kepada pelajar yang seterusnya menjadikan mereka bersedia untuk berubah dan menyebabkan mereka juga pihak sekolah dapat merangka perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk berjaya?.

Betapa ramai anak yang kecewa kerana ibubapa sibuk mencari kesempurnaan. Mereka merasa kecewa apabila ibubapa sering sibuk dan tidak dapat bersama mereka. Begitu juga dengan guru, betapa ramai pelajar yang kecewa sebab guru sibuk dan tidak dapat memberi tumpuan kepada mereka. Guru hanya mengajar untuk habiskan sukatan sahaja sebab otak mereka sibuk memikirkan kerja yang bertimbun-timbun yang belum dibereskan.

Sekarang ini sudah hampir dengan peperiksaan kenapa tidak diberi ruang untuk guru meluangkan masa yang panjang bersama murid-murid mereka...YIK sepatutnya sekarang ini sudah merangka berbagai cara supaya guru dapat bersama dengan muridnya dalam keadaan guru tidak dikejar oleh tugasan-tugasan yang boleh menyibukkan otak mereka yang boleh menyebabkan mereka mengabaikan anak-anak murid mereka.

Demi untuk melihat sekolah-sekolah YIK setanding dengan sekolah-sekolah dibawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia maka perkara yang paling penting ialah usaha untuk melahirkan penolong kanan dan pengetua yang benar-benar berkualiti.

No comments:

Post a Comment