Islam adalah agama yang datang dari Allah, sebagaimana sempurnanya Allah maka Islam yang dicipta oleh Allah tentunya sempurna. Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah bermula dari Nabi Adam dan sempurna serta lengkap merangkumi semua urusan kehidupan manusia dengan perutusan Nabi yang terakhir iaitu Muhammad s.a.w. perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 33 yang bermaksud:.
“pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”.
Telah sepakat para ulama’ bahawa agama Islam adalah agama yang paling sempurna. Jika ada yang masih beranggapan sebaliknya maka dia seolah-olah menempah bala yang besar di akhirat nanti.
Jikalau kita termasuk dalam golongan mereka yang beriktikad bahawa memang agama Islam adalah agama yang sempurna merangkumi semua bidang dan ruang, maka buktikanlah, buktikanlah dengan iktikad, kata-kata dan tindakan. Kerana mengikut ahlussunnah wa al-Jama’ah bahawa keimanan yang diiktikad dalam hati perlu dibuktikan dengan lidah dan tindakan. Jikalau tidak dibuktikan dengan lidah dan tindakan bagaimanakah Malaikat yang diwakilkan mengintip kita akan mencatat dan merekodkan kita?
Bagaimanakah agaknya laporan yang dihantar ke langit dan laporan yang dihantar ke dalam kubur tentang diri kita, sekiranya kita hanya menyimpan keimanan dan keyakinan dalam hati kita sahaja tanpa kita buktikan dengan ungkapan dan tindakan? Bolehkah kita berhujjah mengatakan “hati saya bersih”.
Adakah alasan kita” hati saya bersih” tanpa disusuli ungkapan dan tindakan yang betul dapat membantu kita untuk menyelamatkan diri kita di dunia dan di akhirat? Cuba kita renung dan fikirkan.
Jikalau kita didunia ini (hanya) berkawan (sahaja)dengan kumpulan yang disyaki mengedar dadah, lalu ditakdirkan kita tertangkap bersama mereka dan kita dibawa ke lokap. Adakah berguna kata-kata kita “ Cik hati saya bersih saya tak buat benda tu” adakah pihak polis akan terima kata-kata kita lalu membebaskan kita dari lokap?.
Adakah nasib kita dalam kubur nanti akan terbela apabila kita menjalani kehidupan di dunia ini dengan kehidupan yang sama dengan mereka yang disyaki musuh Allah? Adakah dalam kubur nanti polis-polis Allah akan menerima dan membebaskan kita hanya dengan pengakuan kita sahaja? Atau segala bukti yang berbentuk laporan dari pengintip yang ditugaskan mengintip kita semasa kita hidup di dunia yang akan di ambil kira?.
Oleh itu, pesan Rasulullah saw yang bermaksud: “Tanyalah hati kamu sendiri walaupun kamu telah mendengar fatwa(nasihat, pandangan), walaupun kamu telah mendengar fatwa(nasihat, pandangan) walaupun kamu telah mendengar fatwa(nasihat, pandangan).
Pesanan Rasulullah saw ini berdasarkan firman Allah dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.
No comments:
Post a Comment