Saturday, July 4, 2009

ADAKAH SEMUA ORANG YANG ALIM ATAU MEMILIKI ILMU AGAMA ADALAH BETUL DAN BOLEH DIIKUTI SECARA MUTLAK?.

Ummat Islam Malaysia hari ini dalam dilema, mereka bingung, pemikiran mereka kacau, apabila mereka dapati dengan jelas perpecahan mereka yang berstatus ulama’ kepada dua kumpulan iaitu kumpulan penyokong dan pembangkang.

Sebelum kita menilai tentang diri ulama’ lebih baik kita menilai diri kita dahulu. Siapakah kita? Setakat manakah keikhlasan dan kepatuhan serta sayang dan cinta kita kepada Allah??? Tahap manakah penunaian kewajipan kita terhadap titah perintah Allah? Setakat manakah kebencian kita terhadap apa yang dibenci oleh Allah?

Jikalau kita dari kalangan mereka yang kurang keikhlasan dan kepatuhan kepada Allah, hidup kita pula penuh kepura-puraan. Perasaan cinta dan kasih sayang kepada Allah tidak wujud dan belum hadir dalam diri kita. Kewajipan yang difardukan kepada kita tidak kita tunaikan atau kita hanya menunaikannya sekadar melepas batuk ditangga. Kita pula tidak terasa benci yang meluap-luap apabila melihat mereka yang derhaka kepada Allah bersukaria dan berpesta, atau kita adalah salah seorang dari mereka. Maka tidak mustahil hati kita akan terpaut kepada ulama’ yang seangkatan dengan kita.

Tetapi jikalau kita memiliki keikhlasan dan kepatuhan kepada Allah, hidup kita pula penuh dengan keikhlasan kepada Yang Maha Pencipta. Perasaan cinta kepada Allah dan Rasulunya berkobar-kobar dalam diri kita. Kita juga bersegera menunaikan fardhu bahkan sentisa memikirkan dan menunaikan fardu dengan sebaik mungkin. Kita pula terasa bahang kebencian terhadap mereka yang derhaka kepada Allah, benci melihat mereka berpesta dan bersukaria dalam kemaksiatan. Maka sudah tentu kita terpaut hati dengan ulama’ yang jujur dan ikhlas seperti kita.

Kesimpulannya, kita adalah cermin kepada ulama’ yang kita pilih untuk menjadi pengikutnya dan berjuang bersamanya.

SIAPAKAH ALIM ULAMA

Alim ulama’ adalah gelaran kepada mereka yang memiliki ilmu yang tinggi dalam bidang agama. Mereka menjadi guru dan ikutan serta rujukan masyarakat. Ada di kalangan mereka mendapat gelaran Tuan Guru, ada yang dipanggil doktor, ada yang dipanggil ustaz sesuai dengan pencapaian mereka dalam bidang ilmu agama.

ADAKAH DENGAN MEMILIKI ILMU AGAMA (ALIM/BIJAK/PANDAI) MEREKA TIDAK AKAN MELENCONG DARI LANDASAN SEBENAR?

Perlu kita sedar dan akur bahawa mereka juga adalah manusia seperti kita yang dibekalkan oleh Allah dalam diri mereka dengan tuntutan nafsu disamping akal dan ilmu. Yang dapat memimpin manusia ialah hidayah iaitu petunjuk dari Allah. Ilmu agama adalah jalan untuk menuju keredaan Allah, tetapi ilmu boleh jadi tertewas kepada nafsu apabila tidak ada pertolongan dan hidayah dari Allah.

Iblis, dalam sejarah hidupnya adalah makhluk yang alim. Kerana dibesarkan dan dididik dilangit oleh Malaikat. Tetapi tanpa pertolongan dan hidayah dari Allah maka iblis kufur dan dilaknat oleh Allah untuk selama-lamanya.

Musa Samiri, dipelihara dan dididik oleh Malaikat Jibril tetapi akhirnya memilih kufur dari iman ini kerana tidak ada pertolongan dan hidayah dari Allah.

Bal’am bin Ba’ura seorang yang alim dan ahli ibadat yang hebat, beliau memiliki doa mustajab tetapi mati dalam kekufuran kerana menentang dan merancang untuk menghancurkan Nabi Musa dan pengikutnya.

Barshisha, adalah seorang yang alim dan ahli ibadat serta memiliki doa mustajab, tetapi tewas ditangan afrit sehinggakan Barshisha meninggal dunia dalam keadaan mensyirikkan Allah.

Dan ramai lagi mereka yang berstatus alim ulama’ yang memiliki kehebatan dan mustajab doanya akhirnya mati dalam keadaan syirik iaitu memilih untuk mempertuhankan hawa nafsunya. Mereka ini tidak mendapat pertolongan dan hidayah dari Allah.

Oleh itu, setiap ummat Islam yang sedar akan hakikat ini akan benar-benar menghayati surah al-Fatihah dan akan memegang seerat-eratnya doa dalam al-Fatihah yang bermaksud: (Ya Allah!) tolong tunjukkanlah,dan tolong bimbinglah kami ke jalanmu yang lurus,iaitu jalan yang ENGKAU beri ni’mat padanya bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang ENGKAU benci dan bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang sesat....AMIN.

Kita bermohon kepada Allah supaya ditunjukkan jalan yang lurus, tetapi persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk menjadi seorang yang lurus (jujur/ikhlas)kepada Allah???.

Bagaimanakah untuk menjadi jujur dan lurus? Orang yang jujur dan lurus ini dikenali atau dipanggil bertaqwa. Dan sifat orang yang bertakwa ini telah dijelaskan oleh Allah dalam mukaddimah surah abaqarah dari ayat 3-5 yang bermaksud:

3. “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

4. dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

5. mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang Yang berjaya.

Apa yang perlu kita fokuskan disini ialah pada firman Allah yang bermaksud: “dengan hari akhirat mereka yakin”

Dalam kitab tafsir al-Qurthubi, beliau mengatakan bahawa yakin itu terhasil dengan adanya ilmu. Maka syarat untuk menjadi seorang yang bertakwa ialah tidak dapat tidak kena alim dalam ilmu akhirat bermula dari kematian sehinggalah kepada memasuki syurga.

ADAKAH ALIM DENGAN HARI AKHIRAT SUDAH MEMADAI?

Sebagaimana yang telah diterangkan apa yang kita iktikad dalam hati tidak memadai jikalau tidak diterjemahkan melalui lisan dan amalan. Kerana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Ilmu tanpa amal seperti pokok tanpa buah”. Adakah berguna sesuatu benda yang tidak mengeluarkan apa-apa hasil? Dan ingatlah bahawa hasil inilah yang akan kita nikmati di akhirat nanti. Sebagaimana kita nikmati hasil dari kerja kita semasa kita hidup di dunia.

Oleh itu, kenyataan dan amalan hendaklah menggambarkan penjagaan kita terhadap keselamatan di akhirat.

No comments:

Post a Comment