Wednesday, July 8, 2009

POLITIK MENGIKUT PANDANGAN ISLAM

Politik sering dianggap sesuatu yang remeh oleh orang awam, minda mereka disuap dengan tanggapan sebegini adalah demi untuk memastikan mereka tidak terjerumus ke dalam kancah rusuhan dan penentangan yang berbahaya, dan untuk mengelak masyarakat dari memahami politik dalam erti kata yang sebenar mengikut kaca mata Islam.
Apa yang amat menyedihkan ialah ada diantara kita yang beranggapan bahawa politik tidak boleh dicampur adukkan dengan Islam, ini kerana politik bersifat kotor sedangkan Islam bersifat suci.
Mereka ini tidak sedar, mungkin kerana kedangkalan ilmu agama atau kerana menurut tuntutan nafsu, bahawa tanggapan mereka sebegitu boleh menghancurkan keislaman mereka. Ini kerana dengan memisahkan antara politik dan agama telah menyebabkan agama menjadi tidak sempurna, sedangkan agama Islam adalah agama syumul yang merangkumi semua urusan hidup mahupun yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya.(sila semak perkara-perkara yang membatalkan syahadah oleh Said Hawa).
BAGAIMANAKAH POLITIK MENGIKUT ISLAM?
Politik adalah perkataan yang diambil dari bahasa inggeris. Perkataan ini dalam bahasa inggeris disebut politic yang bermaksud: bijaksana atau pemerintahan.
Sementara itu dalam bahasa melayu perkataan politik pula bermaksud: berkenaan cara pemerintahan atau segala sesuatu berkenaan cara memerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara luar atau kelicikan, muslihat, tipu muslihat.
Dalam bahasa arab pula politik disebut “siyasah” yang merupakan kata terbitan yang bermaksud “pentadbiran”. Pecahan dari kata terbitan ini antaranya perkataan “sasa”yang bermaksud “memimpin” , “Sa’is” bermaksud “pemimpin”.
Politik dapat disimpulkan bahawa ianya bermaksud: bijaksana, berkenaan cara memerintah negara, hubungan luar negara dan cara memimpin. Oleh itu! Politik bukanlah suatu perkara kecil dan remeh yang boleh diabaikan begitu saja.
ADAKAH ISLAM MENGABAIKAN PERKARA YANG PALING BESAR INI?
Sebagaimana yang dijelaskan diatas bahawa politik adalah cara memerintah negara dan sudah tentu ianya bukan perkara kecil, maka amat jahatlah mereka yang mengatakan Islam mengabaikan politk dan politik tidak ada dalam al-Quran.
ADAKAH DALAM AL-QURAN AYAT-AYAT YANG MEMBICARAKAN TENTANG POLITIK?
Rasulullah saw adalah Nabi kita. Baginda diutuskan sebagai Nabi dan Rasul juga sebagai seorang pemimpin. Amat mustahil jikalau Rasulullah saw memimpin negara Islam Madinah hanya berpandukan ilmu yang dipelajari dari orang-orang kafir, (seperti pemimpin negara kita sekarang ini). Jadi persoalannya dari mana Rasulullah saw ambil cara memerintah negara? Adakah Rasulullah saw mereka cipta cara memimpin negara? Jawapannya tentulah tidak, habis dari mana Baginda mengambil cara-cara memerintah negara? Tentulah jawapannya dari wahyu yang Allah turunkan kepadanya samada dalam bentuk al-Quran atau hadis.
Dalam al-Quran Allah Ta’ala telah membicarakan tentang politik iaitu pentadbiran bermula dalam surah al-Fatihah iaitu disebut didalamnya perkataan “Rabb al-Alamin” dan “Malik yaumiddin”. Rabb al-Alamin bermaksud DIA Tuhan pengurus sekelian alam, dan DIA“Malik yaumiddin” bermaksud “Raja di hari pembalasan”.
Selepas itu Allah sebut bahawa pemerintahan di dunia ini akan diserahkan kepada manusia. Perkara ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 30 hingga seterusnya. Sementara pemerintahan di akhirat akan dimiliki sepenuhnya oleh Allah.
Dunia telah dicipta oleh Allah dan dihuni oleh makhluknya termasuk golongan jin. Sebelum manusia dicipta golongan jin yang berkuasa dibumi sehinggalah ke satu masa berlaku peperangan yang dahsyat dikalangan jin, dan pasukan Malaikat telah dihantar untuk menangkap dan menghukum jin yang melakukan kerosakan atas muka bumi. Dari kalangan mereka terdapat seekor jin yang ditangkap oleh Malaikat dan dibawa kelangit bersama Malaikat. Dia tinggal bersama Malaikat dan akhirnya menjadi seorang yang soleh lalu dilantik menjadi ketua pengaman yang bertugas menjaga keamanan dunia pada masa itu. Jin ini bernama azazil.
Azazil berkhidmat dengan jayanya sehinggalah pada suatu masa Allah memberitahu kepada Malaikat bahawa Allah akan mecipta manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi. Apabila sampai sahaja kehendak Allah ini kepada azazil, maka azazil mulai marah dan benci dan berdendam kepada manusia yang dianggap merampas haknya. Di hari semua Malaikat termasuk azazil dipanggil untuk sujud kepada Adam maka azazil menunjukkan kedurhakaannya di hadapan Allah. Maka Allah sumpah azazil dan menjadikannya iblis laknatullah. Iblis bermaksud yang putus asa atau yang menderhakai Allah terang-terangan dihadapan Allah.
Dengan anggapan bahawa manusia adalah punca dia disumpah maka azazil bersumpah dihadapan Allah bahawa dia akan memesongkan manusia dari mentaati Allah. Maka Allah halau iblis dan tidak membenarkannya memasuki syurga yang didiami oleh Adam dan isterinya Hawa. Tetapi dengan kehendak Allah iblis berjaya menyelinap masuk ke syurga dan menipu Adam yang menyebabkan Adam terpaksa keluar dari syurga dan diturunkan ke bumi. Dengan ini Allah memberi gelaran syaitan kepada iblis iaitu yang bermaksud menjauhkan hamba dari Tuhannya.
Semasa berada di bumi Adam merasa ketakutan yang amat sangat, maka Allah berjanji akan sentiasa menurunkan panduan untuk Adam dan anak cucunya hidup di bumi ini. Panduan kehidupan ini yang dipanggil cara pentadbiran dan pemerintahan.
Allah sentiasa mengingatkan Adam dan anak cucunya supaya sentiasa berhati-hati agar jangan tertipu untuk kali keduanya yang bakal menyebabkan Adam dan anak cucunya akan menerima nasib yang sama dengan iblis iaitu akan meringkuk dalam neraka.
Allah sentiasa mengutuskan Nabi dan Rasul yang sentiasa memperbetulkan corak kehidupan dan memberi panduan agar tidak tertipu oleh iblis yang sentiasa mengintip untuk mencari jalan dan peluang utntuk membalas dendam terhadap Adam dan anak cucunya.
Allah juga berpesan bahawa akan wujud dua golongan yang besar dari kalangan anak Adam iaitu pengikut syaitan dan pengikut Allah yang disebut dalam bahasa arabnya sebagai “Hizbu syaitan” dan “Hizbullah”.
Pengikut syaitan ini akan berusaha supaya dunia ini dikuasai oleh iblis, sementara itu pengikut parti Allah akan berusaha supaya dunia ini diperintah mengikut undang-undang Allah yang termaktub dalam al-Quran dan dijelaskan dalam hadis. Perkara ini disebut dalam surah al-Mujadalah ayat 19 dan ayat 22.
ADAKAH SEMUA MANUSIA LAYAK UNTUK MENJADI PEMIMPIN?
Dalam kata lain adakah semua manusia layak menjadi khalifah Allah di muka bumi ini? Maksud khalifah adalah pengganti dimana khalifah atau pengganti Allah dibumi ini ialah para Nabinya dan pengganti para Nabi ialah ulama’ yang mengenali Allah sebagai Rabb dan sebagai Malik yaumiddin dan tujuan khalifah pula ialah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah dari panduan-panduan dan hukum-hukum yang terkandung dalam kitabnya. Bukan memimpin ikut suka hati kita. Ini kerana bumi ini bukan milik kita ianya milik Allah dan hanya diberi pinjam untuk sementara waktu sahaja.
Maka adakah mereka yang tidak mengerti (alim) tentang kitab Allah layak menjadi khalifah di muka bumi? Jawapannya ialah: Mampukah orang yang tidak alim dengan al-Quran dan sunnah merealisasikan apa yang ada dalam al-Quran dan sunnah?
Ciri-ciri khalifah Allah telah diterangkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 31 – 33:
31. dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
32. malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
33. Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".
Dari ayat di atas kita dapat simpulkan bahawa Adam layak memerintah kerana dia lebih alim dari Malaikat dan sudah tentu dia lebih alim dari iblis. Adam alim kerana dia diajar oleh Allah dan sesiapa yang menjadikan Allah sebagai gurunya maka dia akan alim seperti Adam dan layak menjadi khalifah. Untuk menjadikan Allah sebagai guru utamanya maka kenalah belajar kitab yang dikarang oleh Allah iaitu al-Quran dan penerangan yang telah dibuat oleh rasulnya yang disebut as-sunnah.
Oleh itu, Allah bertanya “Bukankah Allah Maha Bijaksana” kita jawab: “Ya saya adalah saksi kepada perkara tersebut”. Jikalau benar iktikad kita bahawa Allah Maha Bijaksana kenapa kita tidak mengikuti apa yang diajarnya dalam al-Quran?
KENAPAKAH WUJUDNYA DALAM KERAJAAN ISLAM MEREKA YANG TIDAK ALIM JADI PEMERINTAH DAN PERKARA INI DITERIMA OLEH ULAMA’.
Selepas zaman sahabat, berakhir dengan pemerintahan Islam jatuh ketangan Muawiyah bermulalah perlantikan khalifah secara warisan. Khalifah di zaman sahabat dilantik melalui pengundian.
Sebelum Mu’awiyah meninggal beliau telah memaksa seluruh ummat Islam untuk bersetuju melantik Yazid anaknya sebagai khalifah selepas Mu’awiyah meninggal. Sesiapa yang tidak setuju dengan perlantikan Yazid ini akan dikenakan tindakan tegas. Walaupun Yazid ini seorang yang terkenal melanggar batas agama tetapi ummat Islam terpaksa akur menerimanya sebagai khalifah Islam.
Saidina Husin antara cucu kesayangan Rasulullah saw menentang Yazid sebagai khalifah akhirnya saidina Husin telah dibunuh dan dipancung lehernya. Badannya telah di tanam di karbala’ dan kepalanya dibawa ke hadapan Yazid dan dikebumikan di Damsyik.
Nasib yang serupa inilah yang diterima oleh mana-mana ummat Islam yang menentang khalifah walaupun khalifah itu tidak layak menjadi khalifah. Apa yang ummat Islam mampu ialah bersabar, kerana Rasulullah saw mewasiatkan agar tidak berlaku peperangan antara ummat Islam. Perkara ini berterusan sehingga ke hari ini, para ulama’ terpaksa berdiam diri walaupun yang memerintah itu bukan orang yang sebenarnya layak menjadi pemimpin mengikut kacamata Islam. Ini kerana tidak ingin mewujudkan pertumpahan darah sesama Islam.
Tetapi sampai bila kita para ulama’ terlepas dari dosa kerana bersetuju dengan orang jahil jadi pemimpin? Rasulullah saw mewasiatkan agar tidak menentang pemimpin selagi mana pemimpin itu tidak melakukan kekufuran yang nyata. Dan kita juga dilarang menentang pemimpin kerana dikhuatiri akan berlaku pertumpahan darah antara ummat Islam.
Dalam dunia politik hari ini, demokrasi yang diamalkan, pemimpin dipilih melalui undian. Apakah alasan kita untuk masih mengekalkan mereka yang jahil dalam agama untuk menjadi pemimpin?
Sementara itu, pemimpin pula telah meperjuangkan kebangsaan dan mereka yang memperjuangkan kebangsaan ,mengikut Said Hawa boleh menyebabkan murtad. Dan mereka juga menolak hudud terang-terangan dan memperjuangkan ISA bermati-matian. Bukankah ini sudah menyatakan kepada kita bahawa mereka telah melakukan kekufuran yang nyata?
Persoalannya!!! Bagaimana kita sebagai orang yang tahu hukum-hakam hendak berhadapan dengan Allah dalam mahkamahnya sekiranya kita berdiam diri???
Kami amat berharap sekiranya sesiapa yang memiliki jalan penyelesaian agar membantu kami untuk melepaskan diri dari disoal oleh Allah di mahkamahnya nanti.
KAMI MENCARI HAKIKAT KEBENARAN(AL-HAQ). KAMI MERAYU KEPADA SESIAPA YANG MENGETAHUI HAKIKAT KEBENARAN AGAR MEMPERBETULKAN SEGALA KESILAPAN MAKLUMAT YANG KAMI UTARAKAN(SEKIRANYA ADA). KAMI TIDAK SANGGUP BERDEPAN DENGAN ALLAH DI AKHIRAT NANTI SEBAGAI ORANG YANG MENGEMBANGKAN AJARAN SESAT.

No comments:

Post a Comment