Thursday, July 2, 2009

MUKADDIMAH

MENCARI HAKIKAT KEBENARAN.

Mukaddimah.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI.

Segala puji adalah milikMU Tuhan sekelian alam. Engkau Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Engkaulah Raja yang memiliki hari pembalasan(Akhirat). Jadikanlah kami dari kalangan mereka yang hanya mematuhi dan mentaati segala titah perintahMU, jadikanlah kami dari kalangan mereka yang hanya memohon bantuan dan pertolongan dariMU. Oleh itu Wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani tunjukkanlah, bimbinglah kami menuju jalan yang lurus, jalan yang mencapai kerdhaanMU. Jalan mereka yang engkau beri ni’mat kepada mereka yang melaluinya. Ya Allah!!! Yang Maha Pemurah lagi Maha pengasihani…Jauhilah kami dari jalan yang dilalui oleh mereka yang Engkau benci, jauhilah kami dari jalan yang dilalui oleh mereka yang sesat. Ya Allah!!! Terimalah rayuan kami ini.

Ya Allah!!! Dunia hari ini penuh liku dan ranjau, kami insan yang lemah lagi hina ini terkapai-kapai dalam menjalani kehidupan. Ya Allah!!! Kami telah lama ditinggalkan oleh kekasih kami junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun kekasih kami pergi meninggalkan dua perkara iaitu al-Quran dan as-Sunnah tetapi kami yang semakin jauh ditinggalkannya ini semakin kabur apabila berdepan dengan dunia yang kian mencabar. Dunia yang menuntut ilmu keimanan dan keyakinan yang jitu. Dunia yang menuntut pengorbanan yang tinggi. Dunia yang menggamit kami dengan segala kelazatan dan kealpaan. Ya Allah!!! Dunia sekarang ini semakin menampakkan segala perhiasannya yang memukau. Ya Allah!!! Dengan keadaan kami yang ibarat yatim piatu ini, bagaimanakah kami mampu untuk menempuh cabaran dunia yang menggoncang keimanan dan bakal menghancurkannya.

Ya Allah!!! Setelah begitu lama dan jauh kami ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, maka semakin segar dan semakin membiak mereka yang mengajak kami kepada mempertuhankan dunia. Mereka semakin lantang mengutarakan pandangan dan idea. Mereka semakin ghairah untuk mempengaruhi dan meramaikan pengikut-pengikut mereka. Ya Allah!!! Kami merayu kepadaMU agar kami tidak ditinggalkan sendirian dalam melayari kehidupan dunia menuju kehidupan akhirat.

No comments:

Post a Comment