Saturday, September 26, 2009

MUNAFIK5

Ketika Berada Dalam Kubur
Alam Kubur
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kubur itu adakalanya suatu lobang dari lobang-lobang neraka atau suatu taman dari taman-taman syorga” .
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila meninggal salah seorang kamu nescaya didatangkan kepadanya tempat duduknya pada pagi hari dan petangnya. Jikalau dia dari isi Syorga maka dari Syorga. Dan jikalau dia dari isi neraka maka dari neraka. Dan dikatakan: Inilah tempat dudukmu sehingga kamu dibangkitkan kepadanya pada hari kiamat” .
Ditanyakan Abdullah bin Amr al-Ash dari hal nyawa orang-orang mu’min apabila mereka telah meninggal ke mana nyawa itu? Abdullah bin Amr bin al-Ash menjawab: Dalam perut burung putih dalam naungan al-Arasy dan nyawa orang-orang kafir dalam bumi lapisan ke tujuh .
Abdullah bin Ubaid bin Umair mengatakan tentang jenazah bahawa telah sampai kepadanya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bahawa mayyit (orang mati) itu duduk dan ia mendengar langkah pengunjungnya maka tiada berkata-kata dengan mayyit itu sesuatu selain kuburnya yang mengatakan: Kasihan engkau hai anak Adam! Bukankah engkau telah diperingatkan tentang aku dan kesempitanku, busukku, huru-haraku dan ulatku? Maka apakah yang engkau sediakan bagiku?” .
Peringatan Dari Kubur
Abu Farwah meriwayatkan: Suatu hari Umar bin Abdul Aziz telah pergi menguruskan jenazah beberapa orang yang mati daripada keluarga bani Umayyah. Setelah selesai disembahyangkan dan dikebumikan, orang ramai yang turut hadir ke kubur berkata: Mari semua kita berangkat pulang”.
Di saat itu juga Umar telah menghilangkan diri di celah-celah orang ramai menyebabkan mereka semua menanti-nanti kemunculannya dan mengesyaki bahawa sesuatu telah berlaku kepada Umar. Tidak lama kemudian Umar pun muncul dengan kedua-dua matanya merah dan urat-urat ditengkuknya nampak timbul kesan daripada tangisannya. Mereka bertanya: “Wahai Amirul Mukminin! Kemanakah tuan menghilang tadi, Kerana kami semua menanti kemunculan tuan?.
Jawab Umar: “Sebentar tadi aku telah cuba meninjau-ninjau kubur-kubur keluarga ayahku yang sangat aku kasihi. Aku memberi salam kepada mereka tetapi mereka tidak menjawabnya. Bila aku pergi lebih dekat lagi, tiba-tiba tanah menyeru kepadaku dengan katanya: “Wahai Umar! Mengapa tuan tidak bertanya aku tentang nasib keluarga tersayang tuan. Lalu kataku: “Ya, bagaimanakah keadaan mereka sekarang? Jawab Tanah: “Kain kapan dan tubuh mereka telah lama hancur dimakan ulat”.
Kemudian aku melangkah lagi untuk menyiasat dari manakah datangnya suara tersebut, tiba-tiba tanah bersuara lagi memanggilku: “Wahai Umar! Mengapakah tuan tidak menanyakan diriku tentang keadaan kedua-dua mata mereka pula” jawabku: “Ya, bagaimanakah keadaannya? Jawab tanah: “Kedua-dua biji mata termasuk mata putih, juga telah hancur kerana dimakan ulat”.
Bila aku cuba menyiasat lagi, sebagaimana sebelumnya tanah pun menyapaku: “Wahai Umar! Mengapakah pula tuan tidak terus menyoalku tentang proses bagaimanakah hancurnya tubuh badan seseorang? Kata Umar: “Ya, bagaimanakah prosesnya?” jawab tanah: “Mula-mulanya kedua-dua tapak tangan akan tertanggal daripada pergelangan tangannya. Kemudian kedua-dua pergelangan tangan akan tertanggal dari lengannya. Selepas itu, kedua-dua lengan akan tercerai daripada sikunya. Kedua-dua tulang kipas akan tercabut dari lambungnya. Kedua-dua lambungnya akan tertanggal daripada tulang sulbinya. Tulang sulbinya pula akan terpisah daripada kedua-dua tulang punggungnya. Kedua-dua punggung akan tercabut daripada tulang pahanya. Kedua-dua tulang paha akan bercerai daripada kedua-dua lututnya. Kedua-dua lututnya akan bercerai daripada betisnya dan akhir sekali, kedua-dua betisnya akan bercerai daripada kedua-dua kakinya”.
“Bila aku bergerak lagi, tanah terus memanggilku lagi dengan katanya: “Wahai Umar! Bersedialah engkau dengan kain-kain kapan yang tidak akan lusuh”. Tanyaku: “Apakah kain kapan tersebut?” jawab tanah: “Ketakwaan kepada Allah dan beramal semata-mata kerana mentaatinya” .
Terdapat juga penambahan di dalam riwayat yang lainnya yang berbunyi:
“Kemudian Umar pun menangis dan berkata: “Sesungguhnya dunia itu hanyalah tempat tinggal sementara. Kemuliaan di dunia merupakan kehinaan di akhirat. Kekayaan di dunia adalah kemiskinan di akhirat. Usia muda di dunia sebenarnya usia tua berbanding akhirat. Justeru itu, janganlah kalian tertipu dan tergoda ketika melayari bahtera kehidupan di dunia, sedang kamu mengetahui bahawa ianya hanyalah kehidupan sementara sahaja. Orang yang tertipu ialah mereka yang terpedaya dengannya. Kemanakah perginya generasi lampau yang telah membina bangunan-bangunan di permukaan bumi? Membina saliran-salirannya? Yang menumbuhkan pokok-pokoknya? Mereka hidup di dunia ini hanya sementara sahaja”.
“Mereka tertipu oleh kesihatan tubuh badan mereka. Mereka merasa megah dengan sumbangan kemajuan yang mereka bangunkan sehingga mereka tergamak melakukan maksiat kepada Allah S.W.T. Demi Allah! Sesungguhnya semasa hidup, mereka sentiasa dicemburui dan didengki dengan sebab banyaknya harta yang berjaya dikumpul dan dimiliki oleh mereka. Sedangkan untuk menghimpukan harta-harta tersebut sangat banyak halangan yang perlu mereka tempuhi”.
“Tidakkah mereka terfikir apakah tindakan tanah terhadap tubuh badan mereka, tindakan debu pasir terhadap jasad-jasad mereka, tindakan ribuan ulat terhadap tulang-tulang dan sendi-sendi mereka. Mereka sebenarnya, semasa hidup di dunia sentiasa berhibur di atas katil-katil yang siap tersedia, tempat tidur yang tilamnya lembut dengan dilayan pula oleh khadam yang ramai. Mereka semakin lalai kerana masyarakat menghormati mereka dan jiran tetangga membantu dan menyokong mereka”.
“Tetapi apabila kamu semua melalui kawasan perkuburan mereka yang telah mati, cubalah panggil nama mereka jika kamu semua mampu dan ingin melakukannya. Cuba kamu lihat betapa rapatnya kedudukan kubur-kubur yang mereka huni di saat ini. Tanyakan sesiapa yang kaya dari kalangan mereka, apa yang masih kekal daripada kekayaan mereka? Tanyakan pula sesiapa yang miskin dari kalangan mereka, apa yang masih ada disebalik kemiskinan mereka?”.
“Tanyakan mereka yang sudah mati ini, bagaimanakah sekarang keadaan lidah-lidah yang biasa mereka gunakan untuk bercakap? Bagaimanakah keadaan mata-mata mereka yang biasa digunakan untuk melihat? Keadaan kulit yang sebelum ini lembut? Keadaan muka yang sebelum ini cantik? Dan tubuh yang sebelum ini gemuk? Apakah yang telah dilakukan oleh ribuan ulat terhadap semua anggota ini?”.
“Bukankah warna kulit mereka telah hilang? Daging-daging tubuh mereka telah dimamah oleh ribuan ulat? Muka-muka mereka berlumuran tanah? Kecantikan-kecantikan yang dimiliki oleh tubuh badan mereka telah terkoyak dan hancur? Lantaran itu, dimanakah rumah-rumah yang tersergam indah dan bumbung-bumbung mewah yang pernah mereka huni?. Kemanakah perginya khadam-khadam dan hamba sahaya mereka? Penyokong-penyokong dan timbunan harta yang mereka simpan?. Demi Allah! Semuanya itu tidak dapat menyediakan untuk mereka walaupun hanya sekadar tilam untuk tidur dan hamparan untuk berehat. Jauh sekali menanam untuk mereka pokok-pokok yang menghasilkan buah atau menyediakan tempat tinggal di dalam liang lahad”.
“Bukankah mereka sekarang berada pada suatu tempat yang sunyi dan padang luas yang tidak berpenghuni? Bukankah siang dan malam bagi mereka sama sahaja? Bukankah mereka berada dalam kegelapan yang sangat dahsyat”.
“Sesungguhnya mereka tidak lagi berpeluang untuk kembali beribadat dan terpaksa berpisah dengan orang yang tersayang. Alangkah ramainya orang yang pernah mengecapi kemewahan hidup sebelum ini, samada lelaki atau perempuan, muka-muka mereka telah menjadi hancur luluh, tubuh badan mereka termasuk tengkuk-tengkuk dan anggota-anggota utamanya telah terkoyak, robek dan berkecai. Mata hitam jatuh terkulai di atas pipi. Mulut-mulut mereka dipenuhi darah dan nanah. Segala jenis ulat dan serangga melata dan merayap di atas tubuh mereka dengan merobek dan menghancurkan seluruh anggota badan mereka”.
“Demi Allah! Semuanya ini membuatkan mereka merasakan bahawa segala kenikmatan, kemewahan dan kekuasaan yang mereka kecapi selama hidup di dunia ini hanya sekejap sahaja. Di saat tulang-tulang mereka telah hancur berkecai, segala kebun-kebun tanaman dan segala kehidupan yang serba mewah yang pernah dikecapi sebelum ini kini mereka telah tinggalkan. Isteri-isteri tersayang pula dikahwini orang. Anak-anak merayau-rayau tak tentu hala di jalanan. Rumah tempat tinggal dan segala harta pusaka telah dibahagi-bahagikan”.
“Demi Allah! Ada juga diantara mereka yang merasa selesa dan mendapat kenikmatan semasa berada di alam kubur. Mereka inilah orang yang tidak terpesona dengan mata benda dunia”.
“Wahai penghuni kubur untuk hari esoknya! Apakah lagi yang akan menyebabkan engkau terpedaya lagi dengan dunia? Adakah engkau mengetahui bahawa engkau akan kekal buat selama-lamanya di dunia dan dunia akan kekal menjadi milikmu? Di saat engkau disemadikan di liang lahad, kemanakah perginya rumah engkau yang luas dan sungai engkau yang sentiasa mengalir? Dimanakah buah-buahan yang masak ranum? Kemanakah perginya kelembutan baju yang engkau pakai? Dimanakah bauan harum semerbak dan kayu gaharu? Dimanakah pakaian musim sejuk dan musim panas yang engkau pakai? Mengapa mereka semua enggan datang menolong tuan di saat genting, di saat tuannya menghadap sakaratul maut dan kesengsaraannya, berperang dengan dahaga dan kesakitan sehingga terpercik peluh-peluh dingin daripada tubuh badannya, menunggu ketetapan dari langit, ketetapan Qada’ dan Qadar yang tidak boleh diubah dan ketetapan ajal yang tidak dapat disekat lagi”.
“Jauh sekali dan jauh sekali mereka semua akan datang membantumu wahai orang yang telah menyusahkan ayahnya, saudaranya, anaknya dan menyusahkan orang yang memandikan mayatnya. Oleh itu! Sedarlah wahai orang yang mengkafankan mayat dan membawanya ke kubur. Sedarlah wahai mereka yang meletakkan simayat bersendirian di dalam kubur dan kemudian meninggalkannya”.
“Alangkah sedihnya kurasakan bila mengingati keadaanku ketika dibaringkan di atas tanah yang kasar. Manakah pipiku yang mula-mula akan hancur? Sedarlah wahai diri yang akan binasa kerana engkau tidak lama lagi akan berada bersama-sama mereka yang telah mati”.
“Alangkah sedihnya kurasakan bila memikirkan apakah yang akan dilakukan oleh Malikil Maut terhadapku di saat keluarnya rohku dari alam dunia ini dan apakah suratan amalan yang bakal ku terima daripada Tuhanku?
“Kemudian Umar pun membaca beberapa rangkap syair yang berbunyi ( Maksudnya):
“Engkau bergembira dengan kemewahan dunia yang fana dan dilalaikan oleh anak-anak yang engkau sayangi * sebagaimana terpedayanya orang yang bermimpi mengecapi kelazatan di dalam tidur.
Wahai mereka yang tertipu, siang harinya engkau penuhi dengan kealpaan dan kelalaian * malam harinya engkau hanya tidur, oleh itu, kebinasaan akan menjadi milikmu.
Engkau hanya melakukan perkara yang engkau sendiri bencikan akibat kesudahannya * ini kerana sepanjang hidup di dunia, engkau hidup sebagaimana hidupnya binatang yang diternak”
Kemudian Umar dan orang ramai pun bersurai daripada perhimpunan tersebut. Seminggu selepas itu, Umar bin Abdul Aziz pun meninggal dunia .
Azab Kubur Dan Pertanyaan Mungkar Dan Nakir
Al-Barra’ bin Azib berkata: “ Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w pada jenazah seorang lelaki dari orang ansar. Maka Rasulullah s.a.w lalu duduk di atas kuburnya dengan menundukkan kepala. Kemudian berdoa: “Ya Allah! Ya Tuhan! Bahawa aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur”. (Rasulullah s.a.w mengucapkannya sebanyak tiga kali) kemudian Baginda s.a.w menyambung: “Bahawa orang mukmin dalam menghadap akhirat itu, diutuskan oleh Allah para Malaikat seakan-akan muka mereka itu matahari, bersama mereka itu obat tubuh mayat supaya tidak hancur dan kafannya. Maka mereka duduk sepanjang penglihatan orang mukmin itu. Maka apabila keluar nyawanya, maka bersalat kepadanya setiap Malaikat antara langit dan bumi dan setiap Malaikat di langit. Dan dibukakan pintu-pintu langit, maka tidak ada daripadanya satu pintu pun melainkan suka bahawa orang mukmin itu masuk dengan rohnya daripadanya. Apabila orang mukmin itu dinaikkan dengan rohnya maka dikatakan: “Wahai Tuhan! Hambamu itu si Anu! Maka Tuhan berfirman: “Kembalikanlah dia, maka perlihatkan kepada dia apa yang AKU sediakan baginya dari kemuliaan. Sesungguhnya Aku menjanjikan kepadanya: “Daripadanya (bumi) kamu KAMI jadikan dan kepadanya KAMI kembalikan dan daripadanya pula kamu KAMI keluarkan pada kali yang berikutnya”. Bahawa orang mukmin itu mendengar bunyi tapak kaki mereka apabila mereka itu berpaling meninggalkannya. Sehingga dikatakan: “Wahai fulan! siapakah Tuhanmu? Apakah agamamu?dan siapakah Nabimu? Lalu orang mukmin itu menjawab: “Tuhanku Allah, agamaku Islam dan Nabiku Muhammad s.a.w”. Nabi s.a.w menyambung: “Lalu Mungkar dan Nakir itu mengherdik (jerkah) orang mukmin itu dengan herdikan (jerkahan) yang keras. Dan itulah penghabisan fitnah yang didatangkan kepada mayat. Apabila dia (si mati)dapat menjawab dengan betul maka terdengarlah seruan yang mengatakan: “Sesungguhnya engkau benar”. Dan itulah makna firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 27 yang bermaksud: “Allah meneguhkan kedudukan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang teguh dalam kehidupan dunia ini dan hari akhirat”. Lalu datag kepadanya yang datang, yang bagus muka, yang harum bau, yang bagus kainnya. Lalu berkata: “Bergembiralah dengan rahmat Tuhanmu dan Syorga, yang didalamnya ni’mat yang tetap”. Lalu simati itu menjawab: “Dan engkau maka diberikan engkau khabar gembira oleh Allah dengan kebajikan, siapa engkau? Yang datang itu menjawab: “Aku amalmu yang soleh. Demi Allah! Tiada aku ketahui, kecuali bahawa engkau adalah yang bersegera taat kepada Allah, dan yang lambat dari melakukan maksiat kepada Allah. Maka kiranya Allah membalas engkau dengan kebajikan.
Nabi s.a.w menyambung: “Kemudian berserulah yang menyeru bahawa: “Bentangkanlah baginya dari tikar Syorga dan bukakanlah baginya pintu ke Syorga”. Maka dibentangkan baginya dari tikar Syorga dan dibukakan baginya pintu ke Syorga. Lalu dia berdoa: “Ya Allah! Ya Tuhan! Segerakanlah berlakunya kiamat, sehingga aku dapat kembali bersama keluargaku dan hartaku”.
Nabi s.a.w menyambung: “Adapun orang kafir maka apabila dia menghadap ke akhirat dan terputus dari dunia, nescaya turunlah kepadanya para Malaikat yang kasar dan keras. Bersama mereka itu kain dari api dan pakaian dari tar (seperti tar untuk membuat jalanraya), maka para Malaikat itu benci kepadanya. Apabila keluar nafasnya, dia dikutuk oleh setiap para Malaikat di antara langit dan bumi dan setiap Malaikat di langit. Dan ditutup pintu-pintu langit. Maka tidak ada daripadanya satu pintupun melainkan orang kafir itu tidak suka bahawa dia masuk dengan rohnya daripadanya. Apabila ia dinaikkan dengan rohnya maka dia dicampakkan. Dan dikatakan: “Wahai Tuhan! HambaMu si anu tidak diterima oleh langit dan bumi”. Maka Allah Azza Wajalla berfirman: “Kembalikanlah dia!dan perlihatkanlah kepadanya apa yang AKU sediakan baginya dari kejahatan, bahawa AKU menjanjikannya: “Daripadanya (bumi), kamu KAMI jadikan dan kepadanya kamu KAMI kembalikan dan daripadanya pula KAMI keluarkan pada kali yang berikutnya”. Bahawa dia (si mati) mendengar bunyi tapak kaki mereka apabila mereka berpaling membelakanginya (meninggalkannya). Sehingga dikatakan kepadanya: “Wahai fulan! Siapakah Tuhanmu? Siapakah Nabimu? Dan apakah agamamu? Lalu dia menjawab: “Aku tidak tahu”. Lalu dikatakan: “Engakau tidak tahu? Kemudian datang padanya yang datang yang keji(buruk/hodoh) mukanya yang busuk baunya yang buruk pakainnya, lalu berkata: “Bergembiralah dengan kemarahan Allah dan dengan azab yang pedih yang kekal”. Orang itu lalu menjawab: “Digembirakan engkau oleh Allah dengan kejahatan. Siapakah engkau? Lalu yang datang itu menjawab: “Aku adalah amal engkau yang keji. Demi Allah! Sesungguhnya engkau itu telah bersegera pada perbuatan maksiat kepada Allah dan lambat daripada keta’atan kepada Allah. Engkau sesungguhnya dibalas oleh Allah dengan kejahatan”. Orang kafir itu lalu menjawab: “Dan engkau, maka engkau dibalas oleh Allah dengan kejahatan”. Kemudian ditakdirkan datang kepada dia itu seorang Malaikat yang tuli, buta dan bisu. Bersama dia itu sebatang besi, jikalau berkumpul jin dan insan pada besi itu untuk dibawanya, nescaya mereka itu tidak sanggup. Jikalau dipukul dengan batang besi itu sebuah gunung nescaya ia menjadi debu. Lalu dia memukul orang kafir itu dengan batang besi tersebut sekali pukul maka dia menjadi debu. Kemudian kembali kepada rohnya lalu dia memukulnya dengan batang besi itu antara dua matanya sekali pukul yang didengar oleh yang di atas bumi selain jin dan manusia. Nabi s.a.w menyambung: “Kemudian, menyeru yang menyeru: “Bahawa bentangkanlah baginya dua papan dari neraka! Dan bukakanlah baginya pintu neraka”. Maka dibentangkan baginya dua helai papan dari neraka dan dibukakan baginya pintu ke neraka” .
Muhammad bin Ali berkata: “Tiadalah dari si mati yang meninggal melainkan membentuk baginya ketika mati amalannya yang baik dan amalannya yang jahat. Maka ia mengangkat pandangannya kepada amalannya yang baik dan memicingkan matanya kepada amalannya yang jahat” .
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahawa orang mu’min apabila mendekati mati nescaya datang kepadanya Malaikat dengan sepotong sutera yang didalamnya kasturi dan kumpulan bau-bauan. Lalu nyawanya ditarik sebagaimana ditarik rambut dari tepung. Dan dikatakan: “Wahai nyawa yang tenang! Keluarlah denga redha dan diredhakan dari engkau kepada Roh Allah dan kemuliaannya”. Maka apabila dikeluarkan rohnya nescaya diletakkan di atas kasturi dan bau-bauan itu. Dan dilipatkan ke atasnya sutera. Dan dibawakan ke Syorga tinggi. Adapun orang kafir apabila mendekati mati nescaya datang kepadanya Malaikat dengan sepotong kain hitam yang di dalamnya sepotong bara api, lalu nyawanya dicabut dengan keras dan dikatakan: “Hai nyawa yang keji! Keluarlah dengan marah yang dimarahi engkau kepada kehinaan dan azab Allah”. Maka apabila telah dikeluarkan nyawanya, nescaya diletakkan di atas bara api itu dan baginya bunyi dan dilipatkan ke atasnya pakaian hitam itu dan dibawa ke tempat yang bersangatan azab” .
Abu Hurairah berkata Nabi s.a.w bersabda: “Apabila hamba itu meninggal nescaya datang kepadanya dua Malaikat yang hitam kelabu dinamakan bagi salah seorang dari keduanya itu “Mungkar” dan bagi yang seorang lagi bernama “Nakir”. Keduanya mengatakan kepada hamba yang meninggal itu: “Apakah yang engkau katakan tentang Nabi ? kalau hamba itu orang mu’min nescaya dia menjawab: “Nabi itu hamba Allah dan Rasulnya, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah”. Kedua Malaikat itu berkata: “Jikalau adalah kami itu tahu bahawa enkau mengatakan yang demikian”. Kemudian dilapangkan bagi hamba itu dalam kuburnya tujuh puluh hasta pada tujuh puluh hasta. Dan disinarkan baginya dalam kuburnya kemudian dikatakan baginya: “Tidurlah”. Lalu hamba itu menjawab: “Biarkanlah aku untuk kembali kepada keluargaku, lalu aku khabarkan kepada mereka”. Maka dikatakan kepadanya: “Tidurlah”. Ia lalu tidur seperti pengantin yang tidak dibangunkan selain oleh keluarganya yang lebih mencintainya sehingga ia dibangkitkan oleh Allah dari tempat tidurnya itu.
Jika hamba Allah itu orang munafik nescaya dia menjawab: “Aku tidak tahu, aku mendengar manusia mengatakan sesuatu dan aku lalu mengatakannya”. Kedua Malaikat itu lalu menjawab: “Jikalau adalah kami mengetahui bahawa engkau mengatakan yang demikian”. Kemudian dikatakan kepada bumi: “Bersedaginglah engkau atasnya”. Sehingga masuklah tulang rusuknya dalam bumi, maka senantiasalah dia diazab sehingga di bangkitkan oleh Allah dari tempat tidurnya itu” .
Dari Atha’ bin Yassar yang mengatakan: bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Wahai Umar bin al-Khattab r.a! bagaimana dengan engkau apabila engkau meninggal lalu berjalan dengan engkau kaum engkau mereka mengukur bagi engkau tiga hasta dalam sehasta dan sejengkal, kemudian mereka kembali kepada engkau lalu mereka memandikan engkau mereka mengkafankan engkau dan mereka meletakkan obat yang tidak menyegerakan rosak jasad engkau. Kemudian mereka membawa engkau seingga mereka meletakkan engkau di dalamnya kemudian mereka menimbunkan tanah ke atas engkau dan menguburkan engkau. Maka apabila mereka pergi dari engkau lalu datanglah kepada engkau dua penggoda kubur: Mungkar dan Nakir. Suaranya seperti halilintar yang dahsyat, matanya seperti kilat yang menyambar. Keduanya menarikkan rambutnya kerana panjang, dan keduanya memeriksa kubur dengan gigi taringnya. Maka keduanya itu mengejutkan engkau dan mengacaukan keadaan engkau. Bagaimana dengan engkau ketika itu, wahai Umar? Umar lalu menjawab: “Dan adakah besertaku seperti akalku yang sekarang? Nabi s.a.w menjawab: “Ya”. Umar lalu menjawab: “Jadi sekiranya aku mencukupkan engkau bagi keduanya itu” .
Dari Muhammad bin Ka’ab al-Qaradhi bahawa dia membaca firman Allah Ta’ala surah al-Mu’minun ayat 99-100 yang bermaksud: “Sehingga ketika kematian telah datang kepada seseorang di antara mereka, dia berkata: “Wahai Tuhanku! Kembalikanlah aku (hidupkan aku kembali ke dunia)supaya aku mengerjakan perbuatan baik yang telah aku tinggalkan itu”. Maka Allah bertanya: “Apakah engkau kehendaki? Apa yang engkau inginkan? Adakah engkau ingin kembali itu untuk mengumpulkan harta benda, menanam tanam-tanaman, membangun bangunan dan mengorek sungai? Ia menjawab: “Tidak! Semoga aku mengerjakan perbuatan baik yang telah aku tinggalkan”. Ka’ab berkata: lalu Allah Yang Maha Perkasa berfirman: “Tidak! Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu satu kalimat dia mengatakannya”. Ertinya ialah yang dikatakannya ketika mati .
Abu Hurairah berkata: Nabi s.a.w bersabda: “Orang mu’min dalam kuburnya itu dalam taman yang hijau dan dilapangkan baginya dalam kuburnya tujuh puluh hasta, ia bersinar sehingga adalah dia seperti bulan pada malam purnama. Adakah engkau ketahui pada apa yang diturunkan ayat 124 surah Taha yang bermaksud: “Maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sulit”. Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih tahu”. Nabi s.a.w menjawab: “Azab bagi orang kafir dalam kuburnya itu dikeraskan ke atasnya sembilan puluh sembilan “Tinnin”, tahukah kamu apakah “Tinnin” itu? Iaitu sembilan puluh sembilan ular, bagi setiap ekor ular mempunyai tujuh biji kepala yang mencakar, menjilat dan meniupkan pada tubuhnya sampai kepada hari mereka dibangkitkan” .
Imam al-Ghazali menerangkan tentang hadis ini, kata beliau:” Tidak hairan tentang bilangan ular-ular ini kerana ular-ular dan kala jengking ini adalah mewakili sifat-sifat tercela seperti: sombong, ria, dengki,tipu, busuk hati dan lain-lainnya yang mempunyai pokok dan cabang-cabangnya .

No comments:

Post a Comment